..:: Renungkan Dengan Mata Hati...Nescaya Kan Ketemu Hikmah Tersembunyi ..::
Krisis kekurangan air
KOSMO Online on 08/31/2008 at 4:00am (UTC)
 Keadaan Baghdad apabila jalan berlubang-lubang, paip-paip yang menyalurkan air pecah adalah antara kecelakaan yang berlaku sejurus selepas peperangan. Selain itu pergaduhan, tembak-menembak, bom dan tumpahan darah berlaku di kota itu.

Apabila tiba musim panas, kota Baghdad mengalami masalah kekurangan air yang teruk meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengelakkan rakyat Baghdad tidak mati kehausan, kata Pengarah Perkhidmatan Air, Sadiq Shumari.

Suhu mencecah 50 darjah Celsius manakala permintaan dan kehendak untuk barang-barang komoditi melebihi bekalan yang disediakan, menyebabkan ramai penduduk Baghdad hidup dalam keadaan sukar.

"Kita mempunyai satu tugas penting untuk memulihkan sistem sungai yang telah diabaikan untuk beberapa dekad. Tetapi ia merupakan satu cabaran besar dengan tahap keselamatan yang rendah," kata Shumari kepada Reuters dalam satu rombongan ke kawasan timur Baghdad iaitu satu kawasan yang paling miskin.

"Jika keselamatan terus menjadi satu masalah di Baghdad bagaimana kita mampu memulihkan sistem saliran kepada warga Baghdad," ujar beliau sebelum berlaku dua letupan di kawasan berhampiran dengannya. Manakala setengah askar- Amerika Syarikat (AS) berlari ke dalam sebuah bangunan untuk mendapatkan perlindungan.

Perjalanan jauh ke kawasan timur Sungai Tigris yang berliku-liku di sepanjang wilayah Baghdad merupakan bandar serba mewah tetapi perjalanan ke kota itu kelihatan miskin.

Kanak-kanak yang berpakaian koyak rabak sedang seronok bermain dalam debu, bersebelahan dengan timbunan sampah sarap dan air takung.

Seorang lelaki yang memakai pakaian panjang berbentuk tradisional iaitu jubah serba putih sedang duduk di atas sebuah batu besar di halaman rumah sambil mendengar lagu menerusi sebuah radio lama.

Bersebelahan lelaki itu, seorang kanak-kanak sedang bermain berhampiran sebuah parit yang penuh dengan air yang berbau busuk dan sebuah gunung buatan manusia yang dipenuhi beg-beg plastik, tin minuman, botol-botol plastik dan bungkusan rokok.

Tambahan pula, perkhidmatan di bandar Sadr yang terdiri daripada sebuah kawasan yang dihuni kira-kira dua juta orang yang serba miskin di kawasan utara Baghad.

Kesukaran mendapatkan air menyebabkan harga air melonjak naik. Kata Um-Sara, 54, seorang suri rumah yang berjalan dari sebuah kedai sambil mengimbangi 23 liter botol air di bahunya.

Para penduduk yang lebih miskin seumpama Sami Mahmoud menggunakan pam air untuk menarik air bawah tanah ke dalam tangki-tangki simpanan apabila terdapat elektrik. Tetapi air tersebut tidak selamat.

Wabak taun telah merebak pada masa lalu gara-gara penggerudian perigi-perigi oleh para penduduk secara persendirian apabila air simpanan itu tidak bersih.

Secara tidak langsung, fenomena ini menyebabkan tukang paip seperti Hussein Jawad tidak menang tangan memberi perkhidmatan membantu memperbaiki sistem saliran penduduk di sekitar Baghdad.

"Perniagaan saya akan meningkat pada musim panas," katanya. "Pada musim tersebut air tidak mencukupi. Justeru saya memasang pam-pam dan tangki-tangki. Dengan ini, kami memperoleh banyak keuntungan."

Pihak berkuasa Baghdad berkata, mereka bekerja keras membina loji-loji besar untuk rawatan air dengan kapasiti yang mencukupi tetapi semuanya menjadi kenyataan selewat-lewatnya tahun 2009.

"Kami sedang mencari jalan untuk menyediakan kapasiti yang lebih besar. Ini adalah usaha meningkatkan taraf hidup bekas negara bergolak itu."

Tempoh peperangan, sabotaj, pengabaian telah melumpuhkan proses dan pembangunan Iraq.

Rasuah merupakan endemik dan ia telah menelan berbilion-bilion wang bantuan yang disalurkan sebelum ia sampai kepada projek-projek yang dilakukan.

Sokongan AS untuk membina semula Iraq telah menimbulkan kontroversi tinggi. Minggu lalu, Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat meluluskan satu undang-undang untuk melarang Pentagon daripada membiayai program pembinaan semula yang menelan belanja lebih daripada AS$2 juta (RM3.6 juta).

Ramai di kalangan ahli majlis undangan AS mahu negara itu merujuk kembali pembiayaan tersebut kerana kerajaan Iraq telah membuat lebihan belanjawan yang sihat justeru kenaikan harga minyak
 

Hujan bongkar udang purba
KOSMO Online on 08/31/2008 at 3:50am (UTC)
 GLASGOW - Kejadian hujan lebat yang turun ketika musim panas membantu saintis menemui beberapa ekor anak udang purba di barat daya wilayah Scotland baru-baru ini.

Spesimen itu dianggarkan berusia lebih 220 juta tahun dan pernah dijumpai semula empat tahun lalu biarpun saintis mengenap pasti spesies itu sebagai sudah lama pupus.

Namun, hujan lebat berterusan secara luar biasa sepanjang bulan ini membolehkan udang tersebut 'hidup' kembali di beberapa kolam yang sebelum itu kering dan hanya mengandungi air masin.

"Ia pernah hidup di Preston Merse, Kirkcudbrightshire pada 1907 sebelum dipercayai pupus pada 1948 lalu," kata penyelidik Yayasan Tanah Lembap Britain, Larry Griffin. - Agensi

www.kosmo.com.my
 

Kerana Lidah
Ambe on 08/25/2008 at 6:11pm (UTC)
 :::kerna lidah:::
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

Jika kita merenung tentang kejadian alam ciptaan Allah s.w.t nyatalah terdapat pelbagai keanehan dan perkara-perkara pelik yang dapat kita saksikan yang mana itu semua sebagai tanda tentang keagungan dan keesaaan Allah s.w.t.

Di antara keanehan keanehan itulah kita temui lidah. Ia adalah daging berbentuk kecil dan lembut yang terlindung di dalam mulut. Lidah juga termasuk daripada anugerah Allah Yang Maha Besar yang amat mustahak sebagai penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahu pun untuk mencapai keredaan Tuhan.

Lidah jugalah yang boleh menyebabkan manusia itu terjerumus ke dalam api neraka.

Berhati-hati

Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian.

Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia - sia dan tidak baik.

Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud.

"Manusia itu ada tiga macam (jenis).

Pertama: Yang mendapat pahala.

Kedua: Yang selamat daripada dosa.

Ketiga: Yang binasa.

Orang yang mendapat pahala ialah orang yang sentiasa mengingati Allah, berzikir dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa ialah orang yang sentiasa melakukan perkara-perkara maksiat."

Orang yang beriman dan bijaksana selalunya tidak berkata atau bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka seperti ini menjaga setiap tutur kata dan percakapan. Mereka mengelakkan daripada berkata sesuatu yang tidak berfaedah atau sia-sia apatah lagi mengumpat keji atau mencaci sesama manusia. Sesuai dengan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia, kerana dia akan mengajarkan kau ilmu hikmah."

Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan. Orang-orang munafiq pula akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkannya terlebih dahulu.

Di dalam sebuah Hadis lain yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ibnu Najah dan Abu Hurairah, disebutkan Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebab terbesar yang membawa masuk syurga. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Taqwa kepada allah dan akhlaq yang baik." Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan."

Daripada hadis di atas jelaslah penyalahgunaan lidah iaitu kerana tutur kata dan percakapan dan juga penggunaan kemaluan yang bertentangan dengan hukum-hukum boleh membawa manusia ke neraka.

Seorang ahli sufi yang terkenal, al-Hassan al-Basri pula pernah menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.

Bertentangan

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Berbahagialah orang yang menahan kelebihan lidahnya dan membelanjakan kelebihan hartanya."

Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kira mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara satu sama lain.

Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah falsafah hidupmu?" Beliau menjawab: "Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku."

Tidak syak lagi penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah malah kesannya amat buruk kepada masyarakat. Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda.

Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika tersilap kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Dengan apa yang dipaparkan ini, semoga mendapat di menfaatkan bersama dan juga utk rakan-rakan yg lain.

Wallahu a'lam

pakat9699@yahoo.com

 

Pesanan Sesama Insan...
Along on 08/25/2008 at 6:10pm (UTC)
 Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...

"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.


Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. " Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu

Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu"

Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ( Surah Al A'araaf 179 )

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .


Pertanyaan keempat adalah, " Apa yang paling berat di dunia ini?"

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." ( Surah Al Ahzaab 72 )

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.


Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.


Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

 

SMS maki ayah, ibu
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah on 08/25/2008 at 5:11pm (UTC)
 KUALA LUMPUR: Hanya kerana dinasihat meninggalkan tabiat buruk dan kembali ke jalan Allah swt, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang gemar meneguk arak dan ponteng sekolah tergamak menghantar `SMS derhaka’ memaki-hamun ibu bapanya sendiri.

Pelajar terbabit sanggup menghantar SMS memaki-hamun ibu bapanya tanpa mempedulikan dosa besar bakal ditanggungnya.

Menceritakan insiden itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Ahmadi Baharudin, berkata dia menerima panggilan daripada seorang wanita meminta nasihat terhadap perilaku biadab anaknya.

“Saya bertanya lebih lanjut kepada wanita berkenaan dan dia menceritakan sikap buruk anak sulungnya itu,” katanya.
Katanya, anak wanita itu yang menjadikan penyanyi Barat sebagai idola suka bercampur dengan rakan sebaya yang liar, tidak suka ke sekolah selain terbabit dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.
“Ibu remaja itu yang berusia lewat 30-an tergamam apabila membaca enam SMS berangkai dihantar anaknya bermula jam 9 malam hingga 10 malam, Ahad lalu.

“Saya kemudian ditunjukkan SMS terbabit dan terkejut kerana ia mengandungi ayat menghina dan memaki-hamun ibu bapanya,” katanya.

Menurutnya, SMS sama yang turut dihantar kepada suami wanita itu jelas menggambarkan betapa rendah moral remaja terbabit.

Ahmadi berkata, ibu remaja terbabit yang juga seorang suri rumah hanya mampu menangis teresak-esak mengenangkan sikap biadab anaknya.

“Remaja itu seolah-olah hilang akal dan pedoman kerana ibu bapanya cuba menasihatinya berubah, sebaliknya dianggap musuh atau rakan sebaya yang boleh dicerca begitu saja.

“Dia sewenang-wenang menghantar SMS kepada orang tuanya dengan kata-kata: `untuk pengetahuan kau, aku kaki mabuk! tak nak halau aku keluar dari rumah ke?’

“Malah, dia mendakwa semua dosa dilakukannya di bawah tanggungan kedua-dua orang tuanya,” katanya kepada Harian Metro.

Pada SMS kali keempat yang dihantar, remaja terbabit menghantar mesej berbunyi “kau sayang aku? buang masa kau sayang setan ini! aku keluar dari rumah sekarang dan tak payah cari aku. Aku berjanji tak akan jejak kaki di rumah kau lagi.”

Kandungan SMS itu membuat Ahmadi tidak percaya dihantar seorang anak kepada ibu bapanya sendiri.

“Saya yang simpati dengan nasib ibu bapanya kemudian menawarkan bantuan mencari remaja terbabit dan akhirnya menemuinya bersembunyi di rumah rakan Selasa lalu,” katanya.

Remaja berkenaan tidak menyedari kedatangan rombongan Ahmadi yang membawa ibunya.

“Saya terus ke bilik tidur lalu mengejutkannya dan bertanyakan kenapa bersikap biadab kepada ibu bapa,” katanya.

Ahmadi berkata, mulanya remaja berkenaan tidak mengaku menghantar SMS berkenaan, namun selepas diasak beberapa kali dia mengakui.

“Remaja liar itu mendakwa dia menghantar SMS itu kerana geram dan tidak tahan mendengar leteran ibu bapa yang dianggap mengganggu hidupnya yang inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong,” katanya.

Justeru, bagi menyelamatkan masa depan remaja terbabit, wanita berkenaan bersetuju menghantar anaknya itu ke sebuah pusat pemulihan di Banting, Selangor.

“Saya sendiri akan mengawasi proses pemulihan remaja berkenaan yang kini menunjukkan tanda positif,” katanya.

www.hmetro.com.my
 

Kenapa Pelajar Lelaki Semakin Pupus Di Universiti
Oleh Syed Azwan Syed Ali on 06/26/2008 at 2:04am (UTC)
 KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi.

Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Kenapa pelajar lelaki semakin pupus di universiti?

Fenomena ini meresahkan banyak pihak termasuk pakar dalam dasar kepimpinan Prof Madya Dr Azahari Ismail yang ditemubual Bernama di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dr Azahari berkata fenomena kekurangan pelajar lelaki di universiti adalah isu kompleks yang berpunca daripada faktor berkait, secara langung dan tidak langsung, yang perlu diteliti secara mendalam kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada negara dan masyarakat.

Beliau berkata fenomena kepupusan itu akan memberi implikasi besar kepada agama, sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya institusi keluarga, kerana lazimnya lelaki adalah ketua keluarga.

"Terima atau tidak, kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan, jadi kalau bakal-bakal bapa ini tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur.

"Ini akan menyumbang kepada masalah lain seperti fenomena "bapa kelam" iaitu bapa yang tidak berperanan. Sudahlah isteri pandai daripada dia, nak cakap banyak tak boleh dan dalam sesetengah kes itu, gaji bini lebih banyak. Bapa ini 'powerless and meaningless' (tak ada kuasa, tak berperanan)," katanya.

Dalam mengupas isu itu, Dr Azahari mengaitkan kurikulum sistem pendidikan negara yang secara tidak langsung menyerap sistem pendidikan moden barat yang lebih kondusif kepada pelajar wanita sebagai faktor menyumbang kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki di universiti itu.

Beliau berkata sehingga tahun 1800, sistem pendidikan barat moden dicipta bagi memenuhi keperluan masyarakat yang dikuasai lelaki pada ketika itu sehingga berlakunya pergerakan mendapatkan hak sama rata untuk wanita di Amerika di mana pakar-pakar akademik perempuan mencari jalan mengimbangi gender dalam pendidikan.

Bermula daripada itu, sistem pendidikan telah diubah secara menyeluruh daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran, kandungan kurikulum dan penilaian supaya lebih kondusif untuk membantu pelajar perempuan.

"Pada 1974, saya telah bercakap dengan Edna Saffy (President National Women Organisation Chapter South East America) yang memberitahu saya bahawa beliau menjalankan kempen untuk menggalakkan professor (di Amerika) terutama di fakulti pendidikan untuk mengubah kurikulum ke arah itu.

"Ini penting kerana pemikiran pada waktu itu ialah pasca hippie dan anti perang yang secara tidak langsung mengubah haluan pendidikan," katanya.

Beliau berkata kurikulum itu telah berjaya memudahkan pelajar wanita berjaya dalam pengajian.

Dr Azahari, yang juga pengarah yang merangka program siswazah menganggur di negara ini pada 1986 berkata, pada ketika itu, keseimbangan antara pencapaian lelaki dan perempuan di Amerika tidak parah kerana nilai "judaeo-christian, frontier mentality dan individualism" masih kuat sekaligus mendesak lelaki untuk berusaha.

Berlainan dengan Malaysia, beliau berkata negara ini telah mengubah sistem pendidikan tanpa sedar (kerana kebanyakan ahli akademik sekitar 30-40 tahun lepas belajar di Amerika) sedangkan nilai tradisi tempatan tidak mantap menyebabkan ramai pelajar lelaki hilang jati diri.

"Ramai lelaki yang melalui proses ini hilang jati diri dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab itu saya kata fenomena kepupusan itu parah dan Amerika sendiri mula merasa kesannya selepas 40 tahun," katanya.

Dr Azahari berkata kajian yang beliau lakukan pada 1978/1979 menunjukkan kecenderungan budak lelaki untuk menjadi 'pondan' berasal daripada pengaruh guru dan majoriti guru di sekolah dan tadika adalah guru perempuan.

Kenyataan Dr Azhari itu disokong pensyarah komunikasi Ishak Abdul Hamid yang berkata budaya komunikasi guru perempuan yang lebih menggunakan kemahiran lisan juga mempengaruhi pencapaian pelajar lelaki di peringkat sekolah.

"Budaya komunikasi pelajar lelaki bergantung pergerakan atau penggunaan visual dan grafik dalam pembelajaran.

"Secara langsung, pengajaran secara lisan lebih membantu pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang memerlukan elemen bukan lisan dalam meningkatkan keupayaannya memahami sesuatu subjek," katanya.

Dalam konteks itu, Dr Azahari menegaskan kurikulum yang lebih secocok dengan stail dan keperluan psikologi wanita serta sistem penilaian yang bersifat penilaian akademik (baru akhir-akhir ini diubah dengan memasukkan elemen kokurikulum) secara tidak langsung menyebabkan longgokan pelajar wanita.

"Bagaimanapun fakta bahawa ramai perempuan dalam universiti bukan masalah, atau gelaja tidak baik. Itulah satu rahmat besar sebab masa merdeka dulu berapa ramai perempuan belajar tetapi yang menjadi masalah ialah semakin pantas kadar kekurangan pelajar lelaki itu," katanya.

Dalam konteks itu, Dr Azahari mencadangkan satu jawatankuasa kerja khas kebangsaan di peringkat kementerian dan universiti ditubuhkan untuk mengkaji dan mencari penyelasaian kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki itu.

"Ini bukan perdebatan dalam usaha untuk membangunkan golongan wanita tapi apa yang penting usaha untuk memastikan pelajar lelaki tidak terus terpinggir dan memberikan implikasi negatif kepada negara," katanya.

Selain faktor kurikulum pendidikan yang lebih kondusif kepada pelajar perempuan, Dr Azahari berkata faktor lain yang turut memainkan peranan ialah perubahan institusi keluarga kepada "keluarga nuklear" (keluarga yang hanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak).

"Sebelum ini, ada datuk dalam keluarga yang memberikan pendidikan secara tak langsung melalui cerita-cerita teladan kepada cucunya ketika ibu atau bapa tiada di rumah kerana bekerja. Dengan sendiri jati diri anak lelaki itu kuat dan mereka tidak keliru," katanya.

Beliau berkata faktor lain yang turut menyumbang kepada fenomena kepupusan itu ialah desakan ekonomi dan harapan masyarakat kepada anak lelaki yang bertanggungjawab memimpin keluarga (dengan bekerja dan mengorbankan pelajaran) sekiranya si bapa tiada atau meninggal dunia.

"Lebih parah kalau pelajar lelaki itu berasal daripada keluarga miskin. Daripada dia belajar dalam sistem yang memberikan kelebihan kepada wanita lebih baik dia bekerja untuk membantu keluarga keluarga," katanya.

Hujah Dr Azahari itu disokong pelajar dari Iran, Katrin Shamshiri, yang berkata fenomena yang sama berlaku di negaranya ekoran tiada jaminan pekerjaan selepas belajar kepada golongan lelaki.

"Wanita kami belajar kerana mahu mendapatkan pengormatan dan prestij. Ini akan membolehkan kami memilih sendiri bakal suami," kata Katrin yang sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di UPM.

Dr Azahari berkata persekitaran masyarakat bandar terutama yang tinggal di apartmen atau rumah kos rendah yang sempit memberikan suasana pendidikan yang tidak kondusif kepada anak-anak lelaki yang mempunyai "tenaga lebih" menyebabkan mereka keluar rumah dan lepak bersama kawan-kawan.

"Ketiadaan ruang belajar khusus dan rumah yang hanya mempunyai tiga bilik menyebabkan kebanyakan pelajar lelaki hilang minat untuk belajar kerana secara biologinya lelaki lebih aktif dan bertenaga daripada perempuan (perlu lebih ruang)," katanya sambil mencadangkan rumah kos rendah perlu mempunyai empat bilik -- bilik ibu bapa, anak lelaki, anak perempuan dan tetamu (datuk atau nenek).

Beliau berkata mentaliti ibu bapa sekarang juga berubah kerana pendidikan tinggi belum tentu menjamin anak mereka dapat bekerja dan ini dibuktikan dengan bilangan graduan menganggur yang tinggi setiap tahun.

Dr Azahari mencadangkan semua guru dan pensyarah mendalami ilmu sosiologi dan psikologi.

"Nilai-nilai Islam harus dijadikan tunjang falsafah pendidikan. Pemikiran di universiti juga perlu diubah bahawa pendidikan bukan sekadar untuk mendapat kerja.

"Islam tidak pernah mendefinisi kepentingan belajar untuk mendapat kerja tetapi Islam mengajar menuntut ilmu itu adalah wajib. Kita sebenarnya telah mengecilkan konsep pendidikan bahawa belajar itu untuk mendapat kerja dan menjadi kaya," katanya.

-- BERNAMA
 

<-Back

 1  2 Continue -> 

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus.”
(Al-Isra: 9)
Selamat Berpuasa Kepada Seluruh Umat Islam
" SEMOGA RAMADAN KALI INI LEBIH BERERTI "


Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-51
" PERPADUAN TERAS KEJAYAAN "
Wujud Sejak
19 April 2008

Tarikh kemaskini
30 Ogos 2008
 
Today, there have been 1 visitors (4 hits) on this page!
© Pekdis Mersing 2008 : DEDIKASI UNTUK ANAK BANGSA This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free